suria

Sultan Johor Kurnia Harley Davidson, Kenderaan Lain Bernilai RM5.5j Kepada PDRM

KUALA LUMPUR: Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini berkenan mengurniakan 11 kereta dan lapan motosikal berkuasa besar bernilai RM5.5 juta kepada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kenderaan yang terdiri daripada dua kereta Proton Perdana, sembilan kereta keluaran Australia, Holden, selain lapan motosikal Harley Davidson itu dikurniakan baginda untuk kegunaan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, kurniaan itu secara tidak langsung membantu ke arah kesejahteraan dan keselamatan rakyat jelata di seluruh negara, khususnya penduduk Johor.

Beliau berkata, kenderaan itu juga akan digunakan oleh PDRM sebagai kenderaan pengiring Sultan Ibrahim dan seluruh keluarga Diraja Johor.

"Tuanku begitu prihatin terhadap soal keselamatan dan ketenteraman awam, khususnya kepada seluruh rakyat negeri Johor. Tuanku mempunyai keluhuran budi pekerti dan begitu dermawan,” katanya semasa berucap di Majlis Derma Kurnia Motosikal dan Motokar kepada PDRM di Bukit Aman di sini. - BERNAMA

Artikel Lain