suria

Sebutan Kes Enjin Pesawat 10 Disember

PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen di sini Isnin, menetapkan 10 Disember depan bagi sebutan semula kes kecurian dua enjin pesawat F5 Jenis J85-21 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang didakwa berlaku dua tahun lalu.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan yang dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hamidi Mohd Noh ekoran notis usul yang difailkan oleh salah seorang tertuduh, Sarjan N. Tharmendran.

Ini kerana, permohonan notis usul itu didengar di Mahkamah Tinggi Shah Alam, dekat sini dan Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Asmabi Mohamad dijadualkan memberi keputusannya pada 22 Oktober ini.

Permohonan tersebut telah didengar pada 1 Oktober lalu, di mana Tharmendran, 42, mengemukakan notis usul itu bagi memanggil dua Mejar TUDM untuk disoal balas berhubung dakwaan penyeksaan yang dialaminya semasa ditahan.

Dua pegawai tentera tersebut ialah Pegawai Staf 1 Siasatan di Jabatan Arah Provos Marsyal TUDM, Mejar Ismail Omar dan Pegawai Staf 2, Mejar Norazan Md Amin.

Pada prosiding Isnin, Tharmendran yang pernah berkhidmat di Kem Sungai Besi itu diwakili peguam N. Surendran.

Peguam Gobing Singh Deo pula hadir bagi mewakili seorang pengarah syarikat pembekalan, Rajandran Prasad yang didakwa melupuskan enjin pesawat berkenaan.

Tharmendran didakwa bersubahat dengan Laskar Udara Udara Mohamad Shukri Mohamad Yusop, mencuri dua enjin pesawat F5 jenis J85-21 di Bangunan Material Processing Shed MATRA 1, Pangkalan Udara TUDM Sungai Besi, pada 30 April 2008.

Dia kini berhadapan dengan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabitkan bersalah mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Rajandran, 38, pula berhadapan dengan tuduhan melupuskan dua enjin pesawat TUDM dengan sengaja di alamat 49, Jalan TS 6/6, Taman Industri Subang, pada hari yang sama.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan terhadapnya dikendalikan mengikut Seksyen 414 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Tharmendran dan Rajandran didakwa di mahkamah buat kali pertama pada 6 Januari lalu.

Artikel Lain