suria

Lebih 50 Angkasawan Dunia Hadir Makan Malam PKNS

SHAH ALAM: Lebih 50 angkasawan dari seluruh dunia menghadiri majlis makan malam anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, Jumaat.

Turut dihadiri angkasawan negara, Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor, majlis itu bertujuan meraikan para angkasawan yang menghadiri Kongres Planetari Persatuan Penjelajah Angkasa (ASE) Antarabangsa XXIII di Malaysia.

Mereka terdiri daripada angkasawan berpengalaman dari Austria, Belgium, China, Jerman, Korea, Poland, Rusia, Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS).

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar berkata, pihaknya amat berbangga dapat membantu menyediakan platform kepada masyarakat untuk mendalami minat dalam bidang sains dan eksplorasi angkasa lepas.

"Dengan menganjurkan majlis makan malam ini, kami berharap dapat meningkatkan aspirasi negara khususnya dalam bidang pendidikan sains angkasa demi generasi akan datang," katanya.

Julung-julung kalinya dianjurkan di negara ini, kongres itu turut memperlihatkan perjanjian persefahaman (MOU) antara PKNS dan Advanced Space Education Asia Sdn Bhd (ASE Asia) di Cyberjaya, Khamis.

"Kami berharap perasmian pusat aeroangkasa ini, PKNS dapat membantu ke arah mewujudkan pengalaman pembelajaran inovatif untuk anak-anak yang berminda imaginatif," kata Othman lagi.

Melalui MOU itu juga, Dr Sheikh Muszaphar dilantik sebagai Pengerusi ASE Asia di samping menandakan usahasama dengan PKNS bagi menubuhkan Aerospace and Science Discovery Centre di Selangor Science Park 2 (SSP2).

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain