suria

Umno Kota Baru Sokong Cadangan Tengku Razaleigh Dipilih Sebagai Calon Galas

KOTA BARU: Umno Bahagian Kota Baru menyokong cadangan supaya Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipilih sebagai calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas yang akan diadakan.

Ketuanya, Datuk Mohd Fatmi Che Salleh berkata, pemimpin veteran Umno itu diyakini mampu melaksanakan tanggungjawab sebagai anggota Parlimen dan juga anggota Dewan Undangan Negeri sekiranya dipilih bertanding pada pilihan raya kecil itu nanti.

Beliau berharap Tengku Razaleigh yang telah dipilih sebagai pengarah pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Galas, memikirkan perkara itu semasak-masaknya sekiranya dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil itu.

"Beliau tokoh politik yang disegani oleh rakyat," kata Mohd Fatmi yang juga setiausaha politik perdana menteri kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan di sini, malam semalam.

Semalam, cadangan Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian supaya Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon Galas turut mendapat perhatian Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilaporkan berkata, BN bersedia menimbangkan cadangan itu.

Parti Progresif Penduduk (PPP) turut mengalu-alukan Tengku Razaleigh dipilih sebagai calon BN di Galas.

"Kami yakin Tengku Razaleigh mampu membawa balik kemenangan BN jika menjadi calon di Galas," kata Pengerusi PPP Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff.

Nik Sapeia yang juga Naib Presiden PPP berkata parti itu akan membantu komponen BN dalam memastikan kemenangan BN pada pilihan raya kecil itu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan mengadakan mesyuarat pada Rabu depan bagi membincangkan mengenai tarikh penamaan calon dan pengundian bagi pilihan raya kecil DUN Galas.

Kerusi DUN Galas kosong berikutan kematian penyandangnya Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Oktober lepas akibat barah usus. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain