suria

TH Kaji Kemungkinan Naikkan Tambang Haji Tahun Depan

YAN: Pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) sedang mengkaji kenaikan kadar menyeluruh tambang haji bagi tahun depan daripada pelbagai aspek.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kajian itu berikutan kenaikan kos penginapan dan tempat tinggal untuk jemaah haji di Mekah.

Menurut laporan, kerajaan Arab Saudi menaikkan sekurang-kurangnya 25 peratus kos penginapan dan makanan di Kota Mekah selepas pembesaran Masjidil Haram dan penyediaan kemudahan lain untuk jemaah haji.

Jamil Khir berkata kajian itu dijangka siap penghujung tahun ini, iaitu selepas kepulangan pasukan yang ditugaskan ke Mekah bagi meninjau kos sebenar di sana, termasuk penginapan di kawasan baru.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan masih menimbangkan kewajaran menaikkan kos mengerjakan rukun Islam kelima itu pada musim akan datang.

"Jika benar berlaku, kenaikan itu mengambil kira dan menjaga kepentingan semua pihak, terutama para jemaah dan pendeposit Lembaga Tabung Haji.

"Saya berharap kenaikan itu, kalau berlaku, tidak membebankan bakal jemaah haji kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis Aidilfitri beliau di Dewan Serba Guna Guar Chempedak hari ini.

Jamil Khir berkata dalam konteks ini, jemaah haji Malaysia menyedari bahawa di kalangan negara Asean, negara kita mengenakan harga paling rendah.

Sementara itu, beliau menggalakkan semua jemaah haji Malaysia mengambil suntikan vaksin wabak selesema babi atau Influenza A(H1N1), walaupun "tanah haram" diisytiharkan bebas daripada ancaman virus berkenaan.

"Perkara yang elok dan hal-hal macam ini wajar diberi perhatian kerana kita hendak berjalan jauh, dalam tempoh yang lama iaitu sehingga 40 hari," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain