suria

Negeri Di Bawah Pembangkang Tidak Akan Diketepikan Dalam ETP, Kata Idris Jala

KUALA LUMPUR: Negeri-negeri di bawah pemerintahan pembangkang tidak akan diabaikan dalam pelaksanaan Program Transformasi Ekonomi (ETP), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala.

Beliau berkata 12 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang termasuk industri minyak sawit dan pelancongan akan memberi faedah kepada semua 14 negeri dalam negara.

"Tiada negeri yang akan diketepikan. Wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ialah untuk semua rakyat Malaysia mendapat faedah daripada kemakmuran negara," kata beliau kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan khas mengenai ETP pada Persidangan Transformasi Usahawan Kecil dan Sederhana Kebangsaan 2010 hari ini.

Malah, beberapa projek permulaan (EPP) yang telah dikenal pasti akan menyaksikan pelaburan dalam negeri yang diperintah pembangkang iaitu Selangor dan Pulau Pinang, kata Idris.

"Bagi kami, transformasi ekonomi menjangkaui negeri-negeri di Malaysia. Semasa perbincangan dengan para pemimpin, kami tidak membuat sebarang rujukan kepada mana-mana negeri," kata beliau semasa mengulas dakwaan yang beberapa negeri di bawah pemerintahan pembangkang akan diketepikan di bawah ETP.

Idris berkata ETP, yang akan menyaksikan pelaburan yang diterajui swasta, terutamanya meninjau akan kepada projek-projek yang berdaya maju dari segi komersil kepada mereka dan akan bergantung kepada pilihan mereka di mana akan melabur.

"Sektor swasta yang membuat pelaburan, jika mereka berkata tempat yang paling wajar melabur ialah di Terengganu, sebagai contoh, jadi akan di Terengganu.

"Apa yang melibatkan soal komersial, itu yang menjadi pilihan," katanya.

Baru-baru ini kerajaan mengenal pasti 131 EPP melibatkan 12 NKEA iaitu 11 sektor industri dan satu lokasi geografi berjumlah RM670 bilion.

Mengenai insentif bagi sektor swasta untuk memulakan EPP, Idris berkata Bajet 2011 akan berkemungkinan menyaksikan bantuan dalam bentuk projek infrastruktur dan pelepasan cukai bagi sektor swasta.

Najib, yang juga Menteri Kewangan dijadualkan membentangkan Bajet 2011 di Parlimen pada 15 Oktober ini.

Idris berkata maklum balas awam akan dikumpul sebelum dokumen akhir bagi program terperinci ETP diumumkan pada 26 Oktober. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain