suria

Polis Tahan Suspek Kes Letupan Bom Di Apartmen Cheras

KUALA LUMPUR: Setelah hampir sebulan menjadi buruan polis, suspek utama kejadian letupan bom di Apartment Desa Tun Razak, Cheras, 29 Ogos lepas, yang mengorbankan dua nyawa akhirnya ditahan pagi ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata lelaki berumur 45 tahun itu ditahan kira-kira pukul 6 pagi di sebuah rumah di Sungai Buloh, Selangor.

"Dengan tangkapan lelaki itu pihak polis akan menjalankan siasatan lanjut bersabit penglibatan suspek dalam kes tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi bulan lepas itu, dua pekerja maut selepas satu bom buatan sendiri meletup ketika ketika pekerja itu sedang mengangkat sebuah kotak misteri di hadapan rumah majikan mereka di apartment berkenaan.

Sementara itu Pemangku Ketua Polis Daerah Cheras Supt Abdul Rahim Hamzah Othman ketika dihubungi berkata turut ditahan bersama suspek ialah dua lagi rakannya yang turut berada di dalam rumah itu.

"Suspek dan dua rakannya itu ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden tersebut," katanya.

Beliau berkata polis mendapat perintah tahanan reman seminggu ke atas suspek dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain