suria

Perbicaraan Kes Liwat Anwar Diteruskan 14 Oktober

KUALA LUMPUR: Perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Mahkamah Tinggi di sini, yang akan diteruskan pada 14 dan 15 Oktober akan menyaksikan pasukan pembelaan membuat pemeriksaan balas ke atas seorang doktor Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah juga menetapkan 25 hingga 29 Oktober, 22 hingga 26 November dan 6 hingga 10 Disember bagi meneruskan perbicaraan seperti yang dipersetujui kedua-dua pihak dalam sebutan kes hari ini.

Pasukan pembelaan diketuai peguam Karpal Singh dijangka membuat pemeriksaan balas ke atas saksi kedua pendakwa, seorang pakar bedah HKL Dr Mohd Razali Ibrahim.

Beliau adalah di antara sepasukan doktor yang memeriksa, pengadu kes ini, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Mohd Saiful, 25, bekas pembantu peribadi Anwar, saksi utama dalam kes ini, telah memberikan testimoninya.

Anwar, 63, yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd Saiful, bekas pembantu peribadinya yang berusia 25 tahun, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Anwar didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, seorang daripada peguam Anwar, S.N.Nair memberitahu pemberita bahawa pihak pembelaan akan memfailkan satu rayuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan menolak rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan liwat ke atas di Mahkamah Persekutuan, tengah hari ini.

Semasa menolak rayuan Anwar, tiga panel hakim Mahkamah Rayuan itu menetapkan bahawa permohonan Anwar dibuat ketika perbicaraan sedang dijalankan dan oleh itu ia tidak boleh dirayu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain