suria

Lebih 60 Rumah Di Kuala Krau Rosak Dilanda Ribut

TEMERLOH: Lebih 60 buah rumah dan tiga buah sekolah di 15 buah kampung di Kuala Krau mengalami kerosakan akibat dilanda ribut petang semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Temerloh Supritendan Zundin Mahmood berkata kejadian berlaku kira-kira pukul 6 petang dan melibatkan antaranya Kampung Baduk, Teluk Sentang, Paya Sendayan, Pulau Pasir Mandi, Kerai dan Lipat Kajang.

"Tidak ada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira 20 minit itu," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau berkata kebanyakan kerosakan pada bangunan melibatkan bumbung, kecuali tiga buah rumah yang ranap dihempap pokok.

Kerugian dianggar melebihi RM150,000, katanya.

Sementara itu, Anggota Parlimen Kuala Krau Datuk Ismail Mohamed Said ketika dihubungi meminta penduduk terbabit membuat laporan polis dengan segera bagi mempercepatkan penyaluran bantuan kerajaan.

Semua mangsa akan diberi bantuan, tetapi diharapkan mereka semua bersabar sementara menunggu bantuan disalurkan, katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain