suria

Polis Tahan Rakyat Uganda, Rampas Dadah RM750,000

GEORGE TOWN: Seorang wanita Uganda yang dipercayai cuba menyeludup dadah bernilai RM750,000 ke negara ini ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas di sini Khamis lepas.

Wanita berusia 56 tahun itu ditahan pada kira-kira pukul 11.30 malam ketika membawa bagasi berjalan keluar dari balai ketibaan lapangan terbang itu.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Tun Hisan Tun Hamzah berkata operasi polis itu dibuat berikutan maklumat yang diperoleh daripada polis di Bangkok yang menahan seorang rakyat Afrika tiga hari sebelum penahanan wanita itu dibuat.

"Hasil pemeriksaan ke atas bagasi yang berwarna hitam itu, kami menemui satu bungkusan dadah syabus seberat tiga kilogram tersorok di bahagian bawah beg yang telah diubahsuai dan dilindungi dengan helaian baju," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Tun Hisan berkata, siasatan polis juga mendapati wanita itu telah tiga kali memasuki negara ini.

"Kami percaya sebelum ini suspek masuk ke negara ini bagi memantau keadaan keselamatan. Wanita itu direman sehingga 16 Sept untuk membantu siasatan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain