suria

Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia Di Pakistan Catat Kejayaan: Konsul Jeneral

KARACHI: Misi bantuan kemanusiaan ke Pakistan oleh Kelab Putera 1Malaysia mencatatkan pelbagai kejayaan apabila berjaya menempuh pelbagai cabaran dan halangan sepanjang misi tersebut diadakan.

Mengambil contoh rawatan perubatan yang dilakukan oleh anggota kelab itu yang memberi bantuan kepada lebih 200,000 mangsa banjir, Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd Khalid Abdul Razak berkata ia satu kejayaan yang amat membanggakan.

"Saya amat-amat berpuas hati dengan perjalanan misi ini dan saya merasakan cetusan idea oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak amat bertepatan dan usaha yang baik.

"Kumpulan yang dipimpin oleh presiden kelab, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim dan anggotanya yang saya rasa pakar dari segi semua aspek ditambah dengan jumlah yang besar dan kepakaran kita, cara kita mendekati mereka, saya rasa kita telah berjaya dan ramai orang (mangsa banjir) telah sedar apa bantuan yang Malaysia boleh beri kepada mereka," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Mohd Khalid yang memainkan peranan penting sepanjang misi berlangsung khususnya dalam aspek keselamatan petugas-petugas sukarelawan, berkata kerenah birokrasi dapat diatasi menerusi hubungan kerjasama yang baik antara Malaysia dan Pakistan.

"Nama, bendera dan kepimpinan Malaysia itu sendiri sudah cukup untuk memberi kita semua bantuan yang diperlukan. Saya menghubungi mereka (pihak berkuasa tempatan) melalui telefon sahaja sudah cukup untuk mereka memberi kerjasama sebab mereka tahu apa itu Malaysia dan apa yang Malaysia boleh bawa. Saya amat beruntung menjadi seorang Konsul Jeneral dari Malaysia," katanya.

Antara cabaran paling hebat dihadapi Kelab Putera 1Malaysia adalah melalui perjalanan yang sukar sejauh 620 kilometer yang mengambil masa kira-kira 20 jam pergi dan balik.

Ia merupakan detik bersejarah bagi kelab tersebut kerana menjadi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pertama yang hampir sampai ke pedalaman daerah Dadu iaitu Juhi, yang belum pernah sampai oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Kelab itu juga berjaya menempuh halangan mogok penduduk Dehbachi, di sini dalam usaha untuk menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir, yang menghalang semua laluan ke Gharo ekoran ketiadaan bekalan air bersih sejak seminggu lalu selain cabaran berdepan dengan kerenah penduduk tempatan.

Mengenai keselamatan para petugas sukarelawan, Mohd Khalid yang sentiasa bersama-sama dalam misi tersebut berkata pihaknya seringkali memaklumkan kepada pihak berkuasa tempatan mengenai sebarang aktiviti yang akan dilakukan untuk memudahkan mereka mengetahui kedudukan pasukan sukarelawan tersebut.

"Ya, memang terdapat arahan keselamatan dikeluarkan dan saya sebagai Konsul Jeneral akan memantau, dan setiap pergerakan kita, kita mendapat arahan keselamatan dan bantuan polis serta agensi-agensi tempatan yang lain.

"Alhamdulillah, dalam misi ini dan sehingga ke hari ini, kita tak menerima apa-apa ancaman dan kita tiada sebarang masalah. Dalam pergerakan saya, saya akan memberi mereka 'advance information' di mana saya berada selain kereta kita juga dilengkapi dengan GPS dan mereka akan tahu di mana kita berada," katanya.

Beliau berkata di Pakistan, Malaysia merupakan negara paling terbawah daripada segi risiko ancaman.

Misi kemanusiaan diketuai Abdul Azeez yang memasuki hari ke sembilan hari ini, disertai 68 sukarelawan termasuk 40 doktor dalam pelbagai bidang perubatan serta wakil media massa dijadual berakhir pada Isnin ini selepas bermula pada 3 September. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain