suria

Umat Islam Di Malaysia Sambut Hari Lebaran Dengan Penuh Kemeriahan

KUALA LUMPUR: Umat Islam di Malaysia hari ini menyambut Aidilfitri dengan penuh kemeriahan bersama-sama keluarga dan tradisi rumah terbuka ketika negara terus menikmati keamanan, keharmonian serta dilimpahi kemakmuran.

Di setiap pelusuk negara, masjid menjadi tumpuan jutaan muslimin untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri pada pagi Syawal selepas genap sebulan berpuasa.

Budaya balik kampung, satu ciri penting bagi memelihara hubungan antara mereka yang menetap di bandar dan kawasan maju dan mereka yang mengekalkan tradisi, budaya dan cara hidup di luar bandar, diteruskan sehinggakan ibu kota Kuala Lumpur lenggang pada pagi hari lebaran.

Amalan mengadakan rumah terbuka, sesuatu yang lumrah di kalangan pelbagai kaum di Malaysia semasa sambutan hari kebesaran masing-masing, menjadi antara tumpuan utama seperti kebiasaannya, dengan beribu-ribu orang mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bersama jemaah menteri di kediaman rasminya di Seri Perdana.

Di ibu negara, Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor menghadiri santapan pagi bersama-sama Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah di Istana Negara.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.

Seri Paduka Baginda dan Tuanku Nur Zahirah kemudian berangkat ke Masjid Negara untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama-sama rakyat jelata.

Baginda diiringi Najib, Muhyiddin, beberapa menteri Kabinet serta para duta dan diplomat asing yang beragama Islam.

Khutbah disampaikan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Jamil Khir Baharom.

Selesai solat, Yang di-Pertuan Agong dan Perdana Menteri kemudiannya beramah mesra dan bersalaman dengan jemaah yang hadir. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain