suria

Parti Komponen BN Diarah Pastikan Anggota Daftar Sebagai Pemilih

PUTRAJAYA: Kira-kira 20 peratus daripada tujuh juta anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) yang terdiri daripada 13 buah parti masih belum didaftar sebagai pemilih, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. Beliau berkata sehubungan itu, semua parti komponen telah diarah untuk mempertingkatkan usaha bagi memastikan anggota parti mereka didaftar sebagai pemilih sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Katanya perkara itu diputuskan dalam mesyuarat kali pertama bersama setiausaha agung parti dan setiausaha kerja parti komponen yang berlangsung, pagi Rabu.

"Saya telah memanggil mesyuarat tersebut bagi membincangkan perkara itu dengan memberi tumpuan kepada daftar pemilih berikutan dilihat agak perlahan.

"Kita harap usaha itu dapat dilakukan," katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Tengku Adnan mempengerusikan mesyuarat tersebut yang berlangsung selama kira-kira dua jam bermula pukul 11 pagi, di Hotel Marriot, di sini.

Antara yang hadir ialah Setiausaha Agung MIC Datuk T. Rajagopalu dan MCA diwakili oleh Setiausaha Penganjur Tee Siew Keong.

Tengku Adnan berkata mesyuarat itu juga diadakan atas arahan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu sebarang masalah dalaman parti dapat diatasi.

Katanya selepas mesyuarat tersebut, mereka telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi membincangkan persiapan Konvensyen BN yang dijadual berlangsung pada 28 November ini di Wisma MCA, Kuala Lumpur.

Beliau berkata konvensyen tersebut akan dipengerusikan oleh Muhyiddin yang akan diadakan buat kali pertamanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain