suria

Enjin Pesawat Terhenti Di Udara: Saksi

KULAIJAYA: Enjin pesawat ringan yang terhempas dan mengorbankan seorang juruterbang pelatih hari ini, dikatakan terhenti di udara sebelum pesawat Liberty itu menjunam lalu terhempas.

"Saya terdengar enjin pesawat tiba-tiba terhenti di udara sebelum saya melihat pesawat menjunam dengan berpusing-pusing dan terhempas ke bumi lalu meletup," kata seorang saksi kejadian, Mohd Miswan Sukimin, 52.

"Ia jatuh hanya kira-kira 300 meter dari saya. Saya berlari ke tempat ia terhempas dan melihat seorang lelaki sedang merangkak keluar dari pesawat yang sedang terbakar.

"Lelaki itu meminta saya untuk membantu seorang juruterbang yang terperangkap di dalam pesawat tetapi saya tidak boleh buat apa-apa kerana api sudah marak," katanya yang ketika itu sedang memetik buah kelapa sawit.

Dalam kejadian tersebut, sebuah pesawat dua tempat duduk terhempas di kawasan ladang kelapa sawit Sri Pulai berhampiran Kampung Sri Gunung Pulai di sini kira-kira 9.20 pagi tadi dan mengorbankan juruterbang pelatihnya Dione Wong Yong Chin, 19, dari Taman Rinting, Masai.

Sementara pemeriksa penerbangan dari Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang turut berada di dalam pesawat tersebut Kapten Zaini Ramli, 38, yang berasal dari Kedah cedera parah.

Seorang rakan Mohd Miswan, kemudiannya membawa Zaini dengan motosikal ke tempat pos kawalan di pintu masuk ladang tersebut, kira-kira dua kilometer dari tempat kemalangan, sebelum Zaini dihantar ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim di sini dengan kereta.

Mangsa kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultan Ismail (HSI) di Johor Baharu.

Beliau dikatakan terbakar kira-kira 70 peratus tetapi keadaannya adalah stabil dan beliau boleh bercakap.

Keluarganya dijangka tiba dari Kedah malam ini.

Polis Daerah Kualijaya Supt Zulkefly Yahya berkata pesawat tersebut milik Akademi Penerbangan Antarabangsa Kuala Lumpur (Klifa) dilaporkan berlepas dari pangkalannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Ismail di Senai, kira-kira 10 kilometer dari tempat kemalangan, pada kira-kira 8.58 pagi.

Pihak polis dan pasukan bomba dan penyelamat dari sini tiba di tempat kejadian 20 minit kemudiannya setelah dimaklumkan tentang kejadian itu oleh para saksi.

"Kita dapati mangsa yang meninggal berada di tempat duduknya dan kita dapat mengeluarkannya kira-kira sejam kemudian," kata Zulkefly.

Keluarga Dione Zaini turut berada di rumah mayat Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.

Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abd Rahman ketika dihubungi berkata Dione sedang menduduki ujian Lesen Juruterbang Persendirian (PPL) dan Zaini merupakan pemeriksa penerbangannya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain