suria

Enam Maut Dalam Kemalangan Jalan Raya Di Lahad Datu

TAWAU: Enam orang terbunuh manakala enam lagi cedera selepas terbabit dalam kemalangan yang melibatkan empat buah kenderaan di Km 35, Jalan Kunak-Lahad Datu, di sini Rabu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Lahad Datu ASP Bong Kuet Khiun berkata kejadian pukul 10.25 pagi itu melibatkan sebuah van, sebuah kereta Perodua Viva, sebuah lori dan sebuah bas ekspres.

"Identiti tiga yang terbunuh sudah dikenal pasti iaitu penumpang Perodua Viva Azlan Aziz, 17, pemandu lori Norawi Madu, 37 dan anak lelakinya Mohamad Azrul, 14," katanya.

Tiga lagi yang terbunuh adalah mereka yang menaiki van iaitu Chin Tet Leong, 30, isterinya Yong Pui San, 24, dan seorang lagi wanita Thien Yuk Lin, 51.

"Kesemua mereka mati di tempat kejadian, manakala enam mangsa yang cedera telah dihantar ke Hospital Lahad Datu untuk dirawat," katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Bong berkata sebuah van dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Kunak dipercayai cuba memotong kereta Perodua Viva sebelum dirempuh bas ekspres yang datang dari arah bertentangan.

Turut ditempuh bas ekspres berkenaan ialah Perodua Viva sebelum bas tersebut terbabas ke dalam gaung, manakala lori yang mengekori van dan Perodua Viva juga terbabas ke dalam gaung dipercayai hilang kawalan selepas mengelak pelanggaran dengan bas ekspres itu, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Umno Dan MCA Bantu Mangsa Kebakaran

Artikel Berikut

Artikel Lain