suria

JPJ Pantau Enam Laluan Maut Sempena Musim Perayaan Aidilfitri

KLANG: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mula memantau enam laluan maut di negeri itu 24 jam sehari sepanjang musim perayaan Aidilfitri ini bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.

Pengarah JPJ Selangor Yusoff Ayob berkata enam lalun itu ialah di Kilometer (KM) 415 hingga 452 Lebuhraya Tanjung Malim-Shah Alam, KM 1-4 Lebuhraya Elite, KM 12-45 Jalan Klang-Banting, KM 16-24 dan KM 70-77 Jalan Kuala Kubu-Rawang, KM 24-69 Jalan Kuala Selangor-Sabak Bernam dan KM 1.9-2.7 Jalan Banting-Salak Tinggi.

Beliau berkata sebanyak 269 kes membabitkan 41 kematian dicatat dalam kemalangan di laluan terbabit tahun lepas.

"Seramai 236 anggota penguatkuasa terbabit dalam operasi pemantauan itu yang telah bermula serentak dengan Ops Sikap Jumaat lepas," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pemeriksaan bas ekspres di Terminal Bas Klang Sentral di sini Ahad.

Sementara itu, Yusoff berkata hasil pemeriksaan terhadap 122 bas ekspres di empat depot utama syarikat bas termasuk Sani Ekspres dan Transnasional Ekspres mendapati kesemuanya berada dalam keadaan memuaskan.

Beliau berkata anggota penguatkuasa JPJ akan ditempatkan di dua terminal bas ekspres utama iaitu di Terminal Bas Klang Sentral dan Terminal Bas Seksyen 17, Shah Alam bagi menjalankan pemeriksaan termasuk keadaan tayar dan sistem brek bas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain