suria

Rakyat Malaysia Penuh Kasih Sayang

KEPALA BATAS: Masyarakat Malaysia terkenal dengan sifat penyayang tanpa mengira batasan usia, bangsa, agama mahupun negara menerusi keprihatinan rakyat negara ini dalam menghulurkan bantuan khususnya kepada negara-negara yang dilanda bencana, kata bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau berkata sifat penyayang dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap nasib orang lain pada asasnya bermula dari institusi kekeluargaan yang mengamalkan rasa hormat menghormati antara satu sama lain.

"Rasa prihatin dan sikap suka membantu antara satu sama lain ini juga jelas tergambar ketika hendak menyambut musim perayaan, ada sahaja bantuan yang diterima dan dihulurkan, sifat mulia ini perlu diteruskan untuk kesejahteraan bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada majlis penyampaian dermasiswa kepada 110 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sumbangan hari raya untuk 300 orang penerima di Dewan Seri Endon, Pusat Budi Penyayang, Kapala Batas di sini Sabtu.

Selain itu, Abdullah juga melahirkan rasa kecewa dan kesal apabila terdapat segelintir masyarakat yang kurang prihatin dan tidak mementingkan sifat kasih sayang apabila sanggup melakukan jenayah.

Katanya lebih memalukan dan mengaibkan apabila terdapat kes-kes jenayah yang berlaku melibatkan hubungan antara keluarga.

"Dalam hal ini setiap individu dan masyarakat setempat perlu mengambil sikap ambil tahu, jangan biarkan jenayah terus berlaku kerana ia mengaibkan," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain