suria

Malaysia Alu-Alukan Rundingan Damai Terbaru Israel-Palestin

KUALA LUMPUR: Malaysia mengalu-alukan pusingan baru rundingan damai antara Israel dan Palestin, tetapi tidak begitu yakin yang rundingan itu akan membuahkan keputusan yang diingini dan diterima oleh penduduk Palestin dan masyarakat antarabangsa. Timbalan Menteri Luar Senator A. Kohilan Pillay, semasa dihubungi Bernama hari ini berkata berdasarkan rekod lampau Israel dalam rundingan damai, Kuala Lumpur tidak begitu yakin bahawa rundingan terbaru itu akan membuahkan keputusan yang diinginkan.

"Sudah pasti, rundingan ini merupakan perkembangan baik dan Malaysia juga berharap akan membuahkan hasil yang positif. Dalam soal ini, Israel perlu benar-benar serius dan jujur," katanya semasa mengulas pusingan baru rundingan Israel-Palestin yang sedang berlangsung di Washington, rundingan pertama antara kedua-duanya dalam tempoh hampir dua tahun.

Rundingan Israel-Palestin terbantut kira-kira dua tahun lepas, tetapi pada bulan lepas kedua-dua pihak menerima pelawaan Amerika Syarikat dan negara kuasa besar lain untuk menyambung semula rundingan itu.

Kohilan Pillay berkata Amerika Syarikat, sebagai penyokong kuat Israel, perlu memberikan lebih tekanan ke atas Israel bagi membolehkan masalah Palestin yang sudah berlarutan sekian lama diselesaikan secara aman.

Beliau berkata Israel juga perlu menghentikan semua aktiviti penempatan di tanah penduduk Palestin yang dirampas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain