suria

Imigresen Pulau Pinang Tahan 21 Warga Asing

GEORGE TOWN: Jabatan Imigresen Pulau Pinang berjaya menahan 21 warga asing termasuk seorang kanak-kanak lelaki kerana pelbagai kesalahan dalam tiga serbuan di sekitar negeri ini bermula tengah malam Rabu hingga awal pagi. Timbalan Penolong Pengarahnya Abdul Rahman Hassan berkata dalam serbuan pertama di sebuah pusat karaoke di Persiaran Gurney di sini, sepasukan pegawainya menahan seorang wanita warga China berusia 20an yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di situ.

"Kita percaya operasi itu berjaya dihidu penjaga pusat karaoke berkenaan kerana semasa serbuan hanya seorang saja yang dapat ditahan," katanya kepada pemberita, di sini Khamis.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sebuah pusat hiburan di Lebuh Farquhar pula, pihaknya menahan empat wanita Vietnam dan tiga wanita China berusia antara 20 dan 30 tahun yang bekerja sebagai GRO.

"Kesemua mereka telah menyalah guna pas lawatan sosial dan dipercayai turut menawarkan khidmat seks di pusat hiburan terbabit," katanya.

Abdul Rahman berkata dalam serbuan ketiga pihaknya membuat pemeriksaan ke atas enam unit rumah di kawasan pangsapuri Relau dan menahan 13 warga asing yang didapati tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Mereka yang ditahan itu ialah sembilan lelaki warga Bangladesh, seorang lelaki dan dua wanita Indonesia serta seorang kanak-kanak lelaki yang juga dipercayai warga Indonesia.

"Kita mendapat aduan daripada orang awam bahawa ramai warga asing yang sering membuat kacau di kawasan ini seperti bergaduh dan membuat bising menyebabkan kita membuat pemeriksaan," katanya.

Kesemua mereka kini ditahan di Depot Tahanan Imigresen Juru bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain