suria

Bukan Waktu Sesuai Untuk Taib Berundur

KUCHING: Memandangkan suasana politik di Sarawak sedang melalui fasa yang agak tidak menentu, termasuk masalah dalaman yang melanda beberapa parti komponen Barisan Nasional (BN) negeri, maka adalah tidak wajar bagi sesiapa jua menuntut agar Tan Sri Abdul Taib Mahmud melepaskan jawatannya, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Beliau berkata Taib, yang bakal menggenapkan tahun ke-30 perkhidmatannya sebagai Ketua Menteri pada Mac tahun depan, perlu terus memimpin Sarawak untuk menyelesaikan pelbagai isu penting yang mendepani parti gabungan itu.

"Bukan waktu yang sesuai...ibarat anda sedang belayar di laut dalam dan dilanda badai dan taufan, sudah tentulah nakhoda anda tidak boleh meninggalkan kapal kerana adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mengemudi kapal berkenaan dengan selamat," katanya kepada Bernama di sini Khamis.

Wan Junaidi, yang juga anggota majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), parti tulang belakang BN Sarawak pimpinan Taib, berkata perbalahan dalam kalangan pelbagai puak, termasuk dalam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), terus berlarutan, sedangkan pilihan raya negeri semakin hampir.

Walaupun penggal semasa Dewan Undangan Negeri Sarawak akan berakhir pada Jun tahun depan, pembubarannya boleh dibuat pada bila-bila masa untuk merintis jalan kepada pilihan raya negeri.

Wan Junaidi berkata walaupun pemimpin PBB itu pernah berkata secara terbuka bahawa beliau akan berundur pada 2006, sebelum mengambil keputusan sebaliknya selepas banyak pihak dalam parti itu memujuk beliau supaya terus berkhidmat, tetapi khabar angin bertiup kencang kononnya Taib berura-ura untuk mengumumkan persaraannya dalam tempoh terdekat.

"Tidak dapat dinafikan memang ada banyak khabar angin, pereka cerita (kiri dan kanan) pun berkata tentang banyak hal, di samping blog, akhbar serta pemberita (yang berkata itu dan ini)...macam-macam hal orang kata," kata beliau.

Bagaimanapun, kata beliau, terpulanglah kepada angota PBB untuk membuat keputusan tentang apa yang perlu dilakukan oleh presiden mereka dalam suasana demikian.

Mengenai khabar angin itu, beliau berkata sebagai pengerusi BN kebangsaan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berhak mengadakan perbincangan hati ke hati serta mendengar pandangan Taib tentang perkara tersebut.

Baru-baru ini, Taib dilaporkan berkata beliau sedia berundur sekiranya beliau sudah tidak lagi diperlukan oleh rakyat, parti dan Perdana Menteri.

Wan Junaidi juga berkata dalam membuat keputusan berhubung perkara itu, pandangan seluruh anggota parti, yang merupakan majoriti senyap, perlu diambil kira, bukan berdasarkan pendapat seorang dua anggota sahaja.

Sebab itulah, kata beliau, dalam mesyuaratnya di Miri pada Isnin, anggota majlis tertinggi PBB yang diketuai Timbalan Presiden Tan Sri Alfred Jabu, mengambil pendirian menyokong penuh Taib untuk kekal sebagai Ketua Menteri.

Sebagai wakil majoriti senyap dalam PBB, pendirian itu mencerminkan kesediaan mereka untuk berkorban dan menentang semua ancaman yang bertujuan menjadikan kedudukan kerajaan BN Sarawak tidak stabil.

Sumpah taat setia dan sokongan terhadap Taib, yang sekali lagi menunjukkan dengan jelas bahawa khidmat beliau masih diperlukan untuk menjamin semua rancangan pembangunan dan transformasi berjalan lancar, diserahkan kepada Ketua Menteri Sarawak itu sejurus beliau tiba di Lapangan terbang Miri untuk menghadiri sambutan ulang tahun kemerdekaan negara ke-53 peringkat negeri.

Wan Junaidi berkata keputusan sama ada untuk berundur atau sebaliknya bukan terletak di tangan pengerusi BN Sarawak berusia 74 tahun itu semata-mata kerana ia juga perlu mengambil kira pendirian kesemua empat parti komponen BN negeri.

PBB sendiri telah menyatakan pendiriannya dengan begitu jelas pada Isnin, kata beliau. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain