suria

Lebih 700 Ahli PKR Sertai PBS

TAMPARULI: Lebih 700 orang termasuk bekas anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) Bahagian Kiulu.

Mereka menyerahkan borang keanggotaan masing-masing kepada Presiden PBS Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada majlis perasmian mesyuarat perwakilan PBS bahagian itu dekat sini.

Berucap merasmikan mesyuarat, Pairin berkata penyertaan beramai-ramai itu menunjukkan keyakinan mereka terhadap perjuangan PBS yang merupakan parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri tersebut.

Pairin yang juga Timbalan Ketua Menteri turut meminta anggota parti serta masyarakat di Kiulu agar tidak terpengaruh dengan dakyah pembangkang bahawa kerajaan BN gagal membangunkan kawasan tersebut.

"Memanglah kita tidak boleh memberikan semua kemudahan sekelip mata namun kerajaan berada dalam kedudukan yang lebih baik membantu rakyat berbanding pembangkang yang hanya pandai menabur janji tetapi tiada kemampunan melaksanakannya," katanya.

Beliau turut memberi contoh beberapa projek pembangunan yang telah dilaksana seperti pembinaan Jalan Pukak-Mantob dan Tomis-Kotunuan serta jalan kampung selain membekalkan elektrik kepada masyarakat luar bandar.

"Ini jelas menunjukkan kerajaan sedia ada benar-benar membela nasib rakyat terutama yang tinggal di luar bandar,"katanya.

Pairin juga meminta generasi muda supaya mendaftar sebagai pemilih bagi membolehkan mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada pilihan raya akan datang. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain