suria

Nik Aziz: Saya Wajib Jaga Harta Kelantan

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat menyifatkan tindakannya menyaman Petrolium Nasional Berhad (Petronas) untuk menuntut tunggakan royalti minyak adalah sesuatu yang wajib dilakukan atas kapasiti beliau sebagai Ketua Kerajaan Negeri.

“Wajib ke atas saya untuk menjaga harta rakyat Kelantan, termasuk petroleum. Kita tidak mahu mengikut cara tidak baik, maka kita datang ke mahkamah untuk berunding,” katanya semasa ditemui selepas menunaikan solat hajat di Masjid Wilayah di Jalan Duta, di sini, selepas memfailkan saman di Kompleks Mahkamah di sini. Turut sama ialah Timbalannya, Datuk Ahmad Yaakob dan Ahli Exco Kerajaan Negeri Kelantan seperti Datuk Husam Musa dan Datuk Takiyuddin Hassan, Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar serta hampir 100 penyokong Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Minyak (GEGAR).

Sementara itu, Husam pula berkata, saman itu difailkan pada bulan Ramadhan untuk mengambil keberkatannya selain bertujuan agar semua pihak lebih bersifat belas termasuk memulangkan hak kepada mereka yang berhak seperti Kerajaan Kelantan. Tambahnya, mereka telah cuba menyelesaikan isu royalti minyak secara baik seperti menulis surat, mengadakan perjumpaan dan membuat kenyataan umum kepada Petronas dan Perdana Menteri, bagaimanapun tidak mendatangkan sebarang hasil.

“Selepas semua peluang tidak berhasil, barulah kami membuat keputusan untuk memfailkan saman ini,” katanya.

Husam berkata, terdapat empat kawasan yang dikenal pasti sebagai sumber petroleum, iaitu kawasan perairan Kelantan, Perairan Kelantan – Terengganu, Kelantan - Thailand dan Kelantan – Vietnam.

Dakwanya, meskipun menjalankan kerja-kerja cari gali di kawasan tersebut, Petronas tidak membayar bayaran tunai dua kali setahun seperti yang tertakluk dalam Perjanjian Petroleum Kelantan 1975 yang menyatakan Petronas perlu membayar 5 peratus daripada nllai petroleum yang dijual kepada Kelantan.

Sehubungan itu, Kerajaan Negeri Kelantan memfailkan saman terhadap Petronas bagi menuntut tunggakan royalti minyak yang didakwa tidak dibayar sejak 1998 di Pendaftaran Mahkamah Tinggi Dagang pada pukul 9.20 pagi Isnin, menerusi peguam Tommy Thomas.

Artikel Lain