suria

Isu Perkauman: Pihak Berkuasa Perlu Ambil Tindakan Tegas

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa harus mengambil tindakan tegas terhadap sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan sentimen perkauman agar ia tidak menimbulkan natijah yang buruk, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tindakan seumpama itu, tegasnya, harus dilaksanakan secara berterusan walaupun mungkin ia sudah diambil sebelum ini.

"Kita tidak mahu rakyat berasa tidak selamat... jika perbuatan ini dbiarkan berleluasa, maka ia akan mencetuskan ketidakseimbangan dalam masyarakat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sumber Air Negara (MSAN) Kelima di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video klip terbaru yang menyentuh isu perkaumanan oleh Namewee atau nama sebenarnya Wee Meng Chee.

Namewee yang berasal dari Muar, Johor, sebelum ini pernah menimbulkan kemarahan orang ramai apabila menghasilkan video klip yang menghina lagu kebangsaan, Negaraku.

Menurut Muhyiddin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga telah menyatakan bahawa isu seumpama ini akan diberi perhatian serius.

"Pihak berkuasa telah diarahkan supaya mengambil tindakan yang serius dalam soal seperti ini, termasuk perbuatan yang mencemarkan bendera dan yang boleh mencetuskan perasaan bimbang di kalangan rakyat," katanya.

Ketika ditanya mengenai tindakan terhadap Namewee, beliau berkata tiada kompromi terhadap perkara yang bersangkut paut dengan keharmonian dan keamanan negara.

"Kalau ada yang beranggapan (perbuatan) itu tidak menerima tindakan atau kerajaan lambat bertindak atau memilih-milih, sebenarnya ia tidak begitu. Apa yang penting sekarang ialah tindakan tegas kerana kita tidak akan berkompromi dengan isu seperti ini," katanya.

Mengenai kenyataan berbaur perkauman oleh Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Kulai, Johor, baru-baru ini, Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas yang menyiasat perkara itu telah menyerahkan laporan berkenaan.

Katanya kes itu diserahkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, untuk mengambil tindakan berdasarkan peraturan disiplin jabatan. BERNAMA

Artikel Lain