suria

Masalah Dijangka Selesai, MAS Bakal Terima 35 Pesawat Baru Mulai Oktober

KOTA KINABALU: Masalah kelewatan yang sering berlaku dalam penerbangan Malaysia Airlines (MAS), khususnya sektor penerbangan domestik, dijangka dapat diselesaikan apabila kesemua 35 pesawat yang ditempah terutama jenis Boeing B737-800, dibekalkan dalam tempoh Oktober ini hingga 2011.

Timbalan Menteri Pengangkutan Abdul Rahim Bakri berkata sekurang-kurangnya tiga pesawat akan diterima dalam tahun ini termasuk pesawat pertama dijangka tiba pada Oktober ini.

"Selebihnya dijangka dibekalkan sepanjang tahun 2011 secara berperingkat peringkat," katanya. Abdul Rahim berkata pesawat boeing B737-800 adalah pesawat berprestasi tinggi dengan kapasiti 150 penumpang yang saiznya lebih besar daripada pesawat sedia ada B737-400.

Pesawat berkenaan akan menggantikan pesawat generasi lama tersebut yang sudah lama beroperasi dan bersaiz lebih kecil, kata beliau ketika mengulas pelbagai rungutan rakyat terhadap perkhidmatan penerbangan MAS kebelakangan ini.

"Saya percaya penukaran (pesawat) ini sudah pasti akan dapat memberikan perkhidmatan domestik yang lebih baik dan efisien khususnya sektor Sabah dan Sarawak," katanya.

Abdul Rahim yakin penggantian pesawat itu akan dapat meningkatkan prestasi "on time" (OTP) MAS kepada sekitar 80 peratus.

Beliau berkata jumlah penumpang dan pelancong yang semakin bertambah mewajarkan keperluan bagi memperbaiki kapasiti dan prestasi MAS jika mahu terus menjadi syarikat penerbangan yang menjadi pilihan penumpang.

Abdul Rahim turut menyarankan pengguna supaya merancang perjalanan dan percutian mereka supaya mereka boleh menggunakan kemudahan khidmat tambang murah "all time low fares" MAS. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain