suria

Wanita Nyaris Maut Siling Kedai Runtuh

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja wanita sebuah kedai jam nyaris maut apabila sebahagian siling kedainya runtuh dalam satu kejadian di Lorong Haji Taib di sini kira-kira pukul 3.15 petang Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba, Azizan Ismail berkata dalam kejadian di sebuah kompleks setinggi 19 tingkat itu, pekerja itu tidak sempat melarikan diri apabila siling tersebut tiba-tiba runtuh.

Ketika kejadian, hanya pekerja wanita itu yang berada dalam kedai.

"Bomba sampai di tempat kejadian kira-kira pukul 3.25 petang dan mendapati mangsa tersepit di celah runtuhan. Bagaimanapun dia hanya cedera ringan dan mendapat rawatan pesakit luar di Hospital Kuala Lumpur," katanya.

Azizan berkata runtuhan dipercayai akibat tindakan pemilik premis tersebut mengubah suai dan meletakkan stok barangan yang dijual di atas siling di tingkat dua kedai itu.

"Mereka ubah suai dengan menjadikan tempat tersebut sebagai stor yang menyebabkan siling itu tidak dapat menampung muatan berat lalu runtuh.

"Justeru saya mahu ingatkan pihak pengurusan bangunan termasuk bangunan lain agar memeriksa setiap lot kedai agar perkara sama tidak berulang," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain