suria

Pengawal Keselamatan Warga Bangladesh Mati Ditetak

BINTULU: Seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh mati ditetak oleh dua perompak yang cuba memecah masuk sebuah gudang di tapak Projek Hidroelektrik Murum dalam daerah Belaga, kira-kira 250 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Belaga DSP Bakar Sebau yang mengesahkan kejadian itu Khamis, berkata insiden itu berlaku kira-kira 11 malam Selasa lepas dan mangsa dikenal pasti sebagai Sulfigar Ali Khan, 50.

Berdasarkan laporan yang dibuat, beliau berkata Sulfigar sedang melakukan tugas rondaan bersama seorang lagi pengawal keselamatan apabila dua lelaki masing-masing bersenjatakan parang tiba-tiba muncul dari hutan berhampiran gudang itu dan menyerang mereka.

Dalam keadaan kecoh itu, rakan setugas Sulfigar melarikan diri dari tempat kejadian untuk mendapatkan bantuan daripada pekerja lain di tapak projek itu, namun sekembalinya semula ke situ, dia melihat Sulfigar terbaring di tanah dengan tidak sedarkan diri dan berlumuran darah akibat luka di perutnya.

Penyerangnya dipercayai melarikan diri ekoran bimbang tindakan balas daripada rakan setugas Sulfigar.

Sulfigar dibawa ke Hospital Bintulu menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda kepunyaan syarikat yang mengendalikan projek itu di mana dia disahkan meninggal dunia.

Bakar mengetuai sepasukan polis ke tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu untuk menjalankan siasatan. Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat.

Pekerja asing, terutamanya dari Bangladesh, diambil bekerja oleh syarikat berkenaan yang terlibat dalam kerja-kerja awal pembangunan projek hidroelektrik Murum, iaitu yang kedua seumpamanya dalam daerah Belaga.

Tapak projek itu sehingga kini hanya boleh dikunjungi melalui bekas jalan balak yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Bakun, iaitu tapak projek hidroelektrik pertama dalam daerah ini yang kini di peringkat akhir untuk disiapkan. - BERNAMA

Artikel Lain