suria

Bangunan Sekolah Seni Kuching Siap 2012

KUCHING: Pembinaan bangunan Sekolah Seni Kuching (SSK) di Jalan Santubong bakal dilaksanakan pada Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) dan ia dijangka siap sepenuhnya pada 2012.

Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datin Fatimah Abdullah berkata pembinaan SSK tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal tahun lepas berikutan keadaan ekonomi negara yang gawat dan masalah kontraktor yang terlibat dalam projek itu.

"Kos pembinaan belum dapat dipastikan kerana reka bentuk bangunan sekolah itu sedang dalam proses untuk dimuktamadkan, setakat ini kerja-kerja meratakan tanah sedang dijalankan dan kerja-kerja pembinaan dijangka bermula tahun depan," katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat dari Pengetua SSK Dr Sluhi Lamat di sini, Rabu.

Katanya buat masa ini SSK yang mula beroperasi 1 Januari 2007 sedang menumpang di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Abang Haji Openg di Jalan Demak, dan setelah bangunan baru siap dibina ia dijangka mampu menampung lebih 600 pelajar Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

SSK adalah salah satu daripada dua sekolah seni dalam negara yang menawarkan pendidikan dalam bidang teater, muzik, pendidikan seni visual dan tarian selain daripada subjek-subjek wajib lain seperti Matematik, Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.

Sebuah lagi sekolah Seni terletak di Johor. - BERNAMA

Artikel Lain