suria

Suspek Simbah Asid Direman Enam Hari

KUALA TERENGGANU: Polis hari ini mendapat perintah untuk mereman lelaki yang dipercayai menyimbah isteri, dua anak serta ibu mertuanya dengan asid pada awal Ahad lepas, selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

Perintah tahanan reman itu dibacakan di hadapan Pendaftar Mahkamah Seksyen Kuala Terengganu, Mohd Erman Che Mat.

Perintah tahanan reman berkenaan dikeluarkan mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah.

Lelaki berumur 32 tahun itu ditahan di Kampung Kuala Poh, Pasir Nering, Hulu Terengganu semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi Ahad lepas, empat sekeluarga cedera disimbah asid di rumah mereka di Kampung Sekayu, Hulu Terengganu, ketika sedang tidur.

Mereka ialah Che Ku Zaimah Che Ku Awang, 29, yang cedera di bahagian belakang badan, anaknya Nurul Dahyatul Fazlina Khalid, 8, dan Mohd Irfan Firdaus, 2, yang cedera di muka dan lengan.

Turut cedera dalam kejadian itu ialah ibu Cik Ku Zaimah, Minah Omar, 56 yang cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Ketiga-tiga mangsa kini dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain