suria

Gadis 19 Tahun Ke Afrika Sah Ditangkap Kerana Dadah

KUALA LUMPUR: Tanda-tanya tentang pemergian Nur Dhiya Ain Rosman ke Cape Town, Afrika Selatan, Isnin lalu terjawab apabila gadis berusia 19 tahun itu ditangkap oleh pihak berkuasa negara itu kerana memiliki dadah.

Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda Umno, Datuk Muhd Khairun Aseh yang sebelum ini telah membuat pendedahan mengenai kehilangan Nur Dhiya yang disyaki lari dan diperdaya oleh sindiket dadah antarabangsa.

"Nur Dhiya telah ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Cape Town kerana membawa 1.2 kilogram syabu dan kini berada di pusat tahanan Ravensmead.

"Malangnya dia juga akan dihadapkan di Mahkamah Majistret Belleville, Cape Town," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno Malaysia di sini, Isnin.

Berdasarkan maklumat yang dikongsi dari Interpol dan wakil dari Wisma Putra, Nur Dhiya ditangkap pada petang 14 Ogos lalu, waktu Afrika Selatan.

Susulan kejadian itu, pihak Pemuda Umno akan membantu keluarga gadis terbabit mencari jalan keluar untuk menyelamatkan gadis yang dipercayai ditipu itu.

"Sehingga kini, gadis terbabit belum diwakili mana-mana peguam. Kita juga akan membantu mengemukakan rayuan dengan meminta supaya hukuman diringankan jika sabit kesalahan," katanya.

Menurut Muhd Khairun, Nur Dhiya yang dipercayai diperdaya dan dijadikan 'keldai dadah' juga telah dijanjikan dengan pekerjaan sebagai operator pelancongan dengan tawaran gaji yang sangat tinggi.

Hal ini diakui teman istimewa gadis terbabit, Mohd Nur Zakri Mohd Idrus, 22, yang menjadi satu-satunya teman yang dihubungi Nur Dhiya dari Cape Town.

Zakri yang turut hadir pada sidang media berkata sepanjang berada di sana Nur Dhiya membuat panggilan beberapa kali dan selebihnya mereka berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Dia beritahu saya dia tak berapa sihat dan minta supaya saya tak risaukan tentang dirinya. Dia minta saya jangan fikir yang bukan-bukan kerana yakin tak akan ada perkara buruk akan berlaku pada dirinya di sana.

"Dia juga beritahu dia tentang duit yang dijanjikan sebaik sahaja dia pulang ke Malaysia nanti," katanya.

Dalam masa yang sama, Zakri juga bertindak sebagai orang perantara bagi meyakinkan Nur Dhiya bahawa dia telah diperangkap dan bagi membolehkan lebih banyak maklumat diperolehi untuk tujuan siasatan kelak.

Dalam pada itu, Muhd Khairun turut menyatakan rasa terkilan dengan pihak bertanggungjawab yang seolah-olah memandang remeh aduan yang dibuat oleh ibu bapa gadis terbabit.

Katanya, berdasarkan fakta dan maklumat yang sahih, pihak berkuasa sepatutnya bertindak dan melakukan sesuatu bagi menyiasat, seterusnya menghalang pemergian Nur Dhiya ke Cape Town.

"Pesawat berlepas sekitar pukul tiga pagi. Laporan pula dibuat sekitar pukul satu pagi. Malang sekali dia (Nur Dhiya) telah mengatasi sistem," katanya.

Justeru, beliau menyarankan agar kerajaan dapat mewujudkan dasar-dasar lebih proaktif menangani masalah dengan membuat kekangan di pintu-pintu masuk negara, seterusnya mengekang masyarakat kita daripada keldai dadah.

"Umpamanya, jika beberapa soalan asas dilontarkan sebelum dia berlepas masuk, sudah tentu boleh timbulkan syak dan ragu. Maka kita oleh panggil pihak berkuasa untuk buat pemeriksaan lanjut. Tapi malangnya kita tak ada dasar itu.

"Pihak imigresen boleh tanya soalan berdasarkan kuasa. Jika diadakan lebih proaktif, saya yakin masalah ini akan dapat diatasi," katanya.

Perasaan terkilan dan kecewa turut dirasai ibu bapa gadis tersebut yang mahukan pihak berkuasa yang turut mendakwa pihak polis cuai dan membuat laporan untuk kali kedua atas dakwaan itu selepas laporan mengenai kehilangan anak mereka dibuat.

Roslah Abdul jani, 43 dan suaminya, Musa Abu Chik kesal alasan 'tiada kes' diberikan oleh pihak polis dan pihak Wisma Putra sebaik sahaja laporan dibuat sebelum anak mereka berlepas.

"Tiada guna kalau ada Wisma Putra dan kedutaan jika mereka tak boleh buat tindakan.

"Saya minta supaya anggota yang terlibat dikenakan tindakan," kata bapa kepada Nur Dhiya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain