suria

Pelaksanaan Gaji Minimum RM600 Amah Indonesia Belum Diputuskan: Subramaniam

KUALA SELANGOR: Kerajaan belum membuat sebarang keputusan berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah warga Indonesia sebanyak RM600 oleh kedutaan negara itu.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S.Subramaniam berkata penetapan gaji minimum itu tidak dilakukan dengan persetujuan kementeriannya atau Kementerian Dalam Negeri.

"Saya tidak tahu adakah pihak kedutaan Indonesia menetapkan perkara itu mengikut pentadbiran sendiri, tetapi pada apa yang dipersetujui oleh kita sehingga kini, semua isu gaji pekerja asing diputuskan mengikut kuasa pasaran, iaitu berdasarkan permintaan dan pembekalan.

"Oleh itu, apa yang dilakukan oleh pihak kedutaan adalah di luar pandangan kita dan kita akan siasat apa yang sebenarnya berlaku," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Program Mesra Rakyat 1Malaysia 2010 anjuran Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa Kabinet Masyarakat India di Dewan Harmoni Simpang Tiga, Ijok di sini, Ahad.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai aduan beberapa majikan bahawa mereka terpaksa bersetuju membayar gaji minimum sebanyak RM600 sebagai syarat memperbaharui pasport pembantu rumah mereka.

Mereka mendakwa perkara itu diumumkan oleh pihak kedutaan Indonesia melalui sistem pembesar suara semasa pembantu rumah memperbaharui pasport.

Dakwa mereka lagi, pihak kedutaan juga memaklumkan bahawa perjanjian berhubung penetapan gaji minimum pembantu rumah itu telah ditandatangani oleh Malaysia dan berkuat kuasa Julai lepas.

Subramaniam berkata kedua-dua pihak sedang mengadakan rundingan secara berterusan bagi mencari jalan penyelesaian terbaik berhubung isu tersebut.

Sebelum ini, beliau mengumumkan bahawa Malaysia menolak cadangan Indonesia bagi menetapkan gaji minimum pembantu rumah negara itu sebanyak RM800 sebulan kerana negara ini tidak mempunyai struktur gaji minimum. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain