suria

Parti Politik, NGO Perlu Kerjasama Hulurkan Bantuan

TEMERLOH: Pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik diminta berganding bahu membantu rakyat miskin dan memerlukan bantuan bagi meringankan bebanan hidup mereka terutama pada bulan Ramadan dan untuk menyambut Aidilfitri tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Mohd Sharkar Shamsuddin berkata menerusi gandingan itu usaha untuk membantu penduduk miskin tegar dan golongan sasar termasuk Orang Kelainan Upaya (OKU) akan berjalan lancar.

Beliau berkata usaha untuk membantu fakir miskin tidak hanya terbatas pada musim tertentu seperti bulan Ramadan dan Syawal, tetapi ia perlu diteruskan setiap masa tanpa mengira waktu.

"Malah usaha itu bukan sahaja membabitkan orang Islam tetapi semua kaum tanpa mengira budaya, agama dan etnik.

"Asal miskin dan miskin tegar, OKU dan warga emas yang hidup susah kita akan bantu," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan bantuan sempena bulan Ramadan kepada penduduk miskin, sumbangan Kongres India Muslim Malaysia (Kimma) Pahang dan Yayasan Basmi Kemiskinan (YBK) Selangor, di sini.

Mohd Shakar turut meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) supaya bergandingan dengan NGO bagi menyalurkan nama penduduk miskin dalam kawasan pentadbiran masing-masing untuk menerima bantuan.

"Saya harap Pengerusi JKKK lebih telus semasa menyenaraikan nama-nama penerima bantuan yang layak kerana kita tidak mahu ada pihak yang mempertikaikan bantuan yang disampaikan itu terutama kepada orang yang tidak layak.

"Sebagai mata dan telinga kerajaan, Pengerusi JKKK lebih tahu siapa yang layak untuk diberikan bantuan walaupun mereka yang susah itu tidak menyokong kerajaan Barisan Nasional," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain