suria

CAKE Syor Beri Insentif Kepada Penternak Ayam

ALOR SETAR: Persatuan Pengguna Kedah (Cake) mencadangkan agar kerajaan memberi insentif makanan ayam kepada penternak bagi mengelak harga ayam di pasaran melonjak di bulan Ramadan.

Presidennya Datuk Yusoff Ismail berkata berdasarkan tinjauan yang dibuatnya di Pasar Besar Alor Setar di sini, peniaga didapati tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga ayam apabila pemborong dan penternak menaikkan harga bekalan dari RM4.30 sekilogram kepada RM5.

Katanya beliau difahamkan kenaikan harga ayam itu berpunca daripada harga makanan ayam yang mahal dan harga anak ayam yang juga tinggi, yang membebankan para penternak.

"Sebab itulah saya cadangkan agar pihak kerajaan dapat memberi insentif kepada penternak ayam," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan di Pasar Besar di sini, Khamis.

Yusoff berkata beliau juga berharap agar kerajaan dapat mencari jalan supaya harga ayam tidak dinaikkan sewenang-wenangnya, dan menurutnya sejak beberapa hari lepas, beliau menerima aduan mengenai kenaikkan harga ayam di pasar-pasar sekitar Alor Setar dan Sungai Petani. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain