suria

KPN Akan Diumum Bila Sampai Masanya: Hishammudin

PUTRAJAYA: Keputusan sama ada kontrak Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan akan disambung atau tidak akan diumum apabila sampai masanya nanti, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Bila sampai masanya nanti, kita akan umumkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran MSAFE Putrajaya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini,Isnin.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim.

Hishammuddin berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kedudukan kontrak Musa, 59, yang akan berakhir 12 September ini.

Mengenai status penerbitan Suara Keadilan dan Roket, Hishammuddin berkata timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop sedang memantau perkara itu.

"Yang penting ada garis panduan dan Peguam Negara juga telah menyatakan bahawa (perlu) satu garis panduan agar semua memahami apa yang boleh dan yang tidak boleh lakukan," katanya.

Beliau berkata jika mereka engkar, kementerian akan mengambil tindakan.

Pada 1 Julai lepas, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memutuskan untuk tidak memperbaharui permit penerbitan Suara Keadilan setelah tidak berpuas hati dengan penjelasan sidang redaksi akhbar itu berhubung beberapa perkara, termasuk penyiaran artikel bertajuk 'Felda Bangkrap'.

DAP pula menerima dua surat tunjuk sebab bagi akhbar Roket edisi bahasa Inggeris dan Cina yang permit penerbitan masing-masing tamat pada 30 Jun lepas dan 30 Nov tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain