suria

GLC, Sektor Korporat Diseru Daftar Warganya Sebagai Rela

BANGI: Sektor korporat termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negara ini diseru mendaftarkan warganya untuk menyertai pasukan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) bagi membantu menjaga keselamatan negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Datuk Seri Mahmood Adam berkata Rela kini diiktiraf antara agensi yang telah berjaya memainkan peranannya bersama pasukan polis mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

"Rela kini kekal utuh sebagai benteng ketiga pertahanan negara," katanya pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan dan Pangkat Kehormat Rela, di sini malam tadi.

Beliau berkata jasa mereka yang berkhidmat sebagai anggota Rela juga diiktiraf oleh kerajaan menerusi pemberian pangkat kehormat itu.

Pada majlis itu seramai 106 individu dari sektor korporat termasuk GLC serta media menerima watikah pelantikan dan pangkat kehormat masing-masing.

Antaranya ialah Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya Datuk Mohamad Roslan Sakiman dan Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Hartanah dan Pentadbiran) Lembaga Tabung Haji, Abd. Halim Md. Jamil yang dianugerah pangkat Kolonel Kehormat.

Sementara itu Pengarang Kosmo! Baharom Mahusin pula dianugerah pangkat Mejar Kehormat Rela. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain