Usaha Menjejaki Michael Soosai Dilanda Misteri Mengejutkan - Semasa | mStar

Usaha Menjejaki Michael Soosai Dilanda Misteri Mengejutkan

CHENNAI: Usaha untuk menjejaki pelarian licik dari Malaysia Michael Soosai di Selatan India, yang dipercayai terlibat dengan kes pembunuhan dan penipuan, mungkin tidak akan sampai ke mana berikutan satu perkembangan yang sungguh mengejutkan.

Walaupun sebelum ini pihak berkuasa Malaysia yakin Soosai telah melarikan diri ke Tamil Nadu selepas melakukan beberapa jenajah kolar putih sejak 2005, tetapi keyakinan itu kini mungkin merupakan suatu andaian semata-mata apabila Jabatan Siasatan Jenayah Tamil Nadu menafikan wujud sebarang kes yang difailkan terhadap penjenayah licik berusia 47 tahun itu, yang turut menipu tentang kematiannya pada 2003.

"Saya sudah periksa, tak ada sebarang kes atau maklumat tentang Soosai. Cubalah anda periksa pula dengan polis Malaysia," kata seorang pegawai tinggi jabatan itu kepada Bernama.

Pegawai itu juga berkata jabatan berkenaan tidak pernah menerima sebarang permintaan daripada rakan sejawatan mereka dari Malaysia berkaitan Soosai.

Sehingga kini, email yang dikirim kepada polis Chennai untuk mendapatkan maklumat tentang pelarian dari Malaysia itu, yang juga dikehendaki oleh Interpol, tidak mendapat sebarang jawapan.

Pada Julai 2005, Timbalan Ketua Polis Negara ketika itu Tan Sri Musa Hassan memberitahu media bahawa polis akan mendapatkan bantuan Pejabat Peguam Negara untuk meminta pihak berkuasa India menghantar pulang Soosai dari India.

Pelbagai tuduhan menunggu lelaki kelahiran Pulau Pinang itu menjual ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan, memalsukan dokumen dan terlibat dengan perbuatan menculik dan membunuh pemandu lori berasal dari Malaysia N. Subramansian di Chennai pada 2004 berikutan perbalahan keluarga.

Soosai amat dikehendaki polis Malaysia sejak awal 2000 kerana pembabitannya dalam sekurang-kurangnya 17 kes jenayah kolar putih, kebanyakannya melibatkan pemalsuan cek bernilai lebih RM1 juta.

Bulan lepas, tiga konconya J. Kumaresan, K. Subramaniam dan V. Sanjeev Kumar didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur kerana penglibatan mereka dalam perbuatan memalsukan sijil mati Soosai. - BERNAMA

Artikel Berkaitan

Artikel Lain