suria

Perbadanan Pembangunan Kampung Baru KL Beroperasi Tahun Depan

MELAKA: Perbadanan Pembangunan Kampung Baru yang berfungi sebagai perancang dan pengawal selia pembangunan Kampung Baru di Kuala Lumpur dijangka beroperasi tahun depan.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, rang undang-undang penubuhan perbadanan itu dijangka dibentangkan di Parlimen hujung tahun ini.

"Perbadanan Pembangunan Pembangunan Kampung Baru ini bukan merupakan satu bisnes entiti tetapi akan berfungsi sebagai pengawalseliaan pembangunan untuk memajukan harta di kampung itu," katanya kepada pemberita pada Lab Rang Undang-Undang Perbadanan Kampung Baru, di sini malam Ahad.

Majlis perbincangan selama empat hari tersebut dihadiri oleh kira-kira 50 pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru Kuala Lumpur serta badan bukan kerajaan Melayu dan pemaju.

Ia bertujuan bagi merangka draf undang-undang perbadanan tersebut untuk dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara bagi tujuan penggubalan.

Kawasan Kampung Baru Kuala Lumpur yang meliputi tujuh buah kampung adalah seluas 90.2 hektar dan berusia 110 tahun. Ia kini mempunyai 35,000 penduduk.

Raja Nong Chik berkata, selain Perbadanan Kampung Baru, turut akan ditubuhkan ialah Pemaju Pembangunan Kampung Baru yang akan menyedia dana dan melaksanakan pembangunan fizikal di kawasan tersebut.

Beliau berkata, dua syarikat berkaitan kerajaan iaitu Permodalan Hartanah Berhad dan Lembaga Tabung Haji telah menyatakan persetujuan untuk membangunkan Kampung Baru.

"Yang turut dipelawa ialah Permodalan Nasional Berhad yang telah menyatakan pesetujuan mereka secara dasar," katanya.

Beliau juga berkata, kementerian itu akan melantik sebuah universiti tempatan untuk menjalankan kaji selidik di kalangan pemilik tanah di kampung berkenaan, tidak lama lagi.

"Kajian yang dikenali sebagai Kajian Sosial Penduduk Kampung Baru bertujuan untuk mendapatkan pandangan serta maklum balas pemilik tanah secara lebih tepat dan telus terhadap cadangan pembangunan Kampung Baru," katanya.

Katanya, langkah itu penting kerana pada masa ini terdapat pelbagai pandangan terhadap cadangan pembangunan kawasan penempatan tersebut dan menerusi kaji selidik itu, pendapat majoriti pemilik tanah akan diambil kira. - BERNAMA

Artikel Lain