suria

Tiga Warga Asing Maut Dalam Kemalangan Di Jalan Klang Lama

KUALA LUMPUR: Tiga warga asing yang dipercayai pelajar terbunuh dalam kemalangan di susur keluar Jalan Klang Lama menuju Lebuhraya Persekutuan awal pagi Ahad.

Pegawai Penyiasat Trafik Kuala Lumpur, DSP Abdullah Roning berkata mangsa yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita mati ditempat kejadian apabila kereta jenis Chevrolet berwarna biru yang mereka naiki terbabas di sebelah kanan jalan dan merempuh sebuah papan tanda.

Polis percaya lima orang berada di dalam kereta tersebut dalam kejadian kira-kira 3.55 pagi itu.

"Polis sedang mencari dua lagi rakan mangsa bagi membantu siasatan. Tiada sebarang pengenalan diri dijumpai pada mayat-mayat itu atau di dalam kereta berkenaan.

"Ini menyukarkan pihak polis untuk mengenal pasti kewarganegaraan mangsa," katanya kepada Bernama.

Abdullah berkata, siasatan awal polis mendapati kereta terbabit sudah dijual kepada sebuah syarikat menjual kereta terpakai tetapi belum ditukar hak milik.

Sehubungan itu polis sedang menyiasat bagaimana kereta tersebut boleh berada di tangan warga asing berkenaan, katanya.

Mayat dua lelaki berkenaan dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya manakala mayat mangsa wanita dihantar ke Hospital Kuala Lumpur.

Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Lain