suria

Peniaga Kecil Masih Punya Masa Depan - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan penjaja dan peniaga kecil di negara ini masih mempunyai masa depan untuk berjaya walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran, termasuk saingan daripada pasaraya besar.

Beliau berkata, ini kerana peranan penjaja dan peniaga kecil tetap ada kerana mereka mempunyai pasaran dan pelanggan tersendiri.

"Penjaja dan peniaga kecil ini ada pasaran dia sendiri, ada pelanggan sendiri. Mereka memberi layanan secara peribadi sebab itu ada hubungan yang lebih rapat dengan pelanggan. Misalnya peniaga makanan, selagi makanan yang dijual itu bersih, sedap, maka pelanggan tidak akan lari.

"Walaupun mereka tidak mampu bersaing dengan pasaraya besar, tetapi mereka boleh tandingi mereka dengan adanya keistimewaan ini yang tidak ada pada pasaraya besar," katanya ketika berucap pada majlis Peniaga Makanan Warisan 2010 anjuran Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Selangor di sini, pada Jumaat.

Muhyiddin berkata, beliau yakin jumlah penjaja dan peniaga kecil akan terus bertambah pada masa akan datang walaupun ramai yang sudah terpaksa 'gulung tikar' atas pelbagai faktor.

Bagaimanapun katanya, untuk berjaya, kelompok penjaja dan peniaga kecil, terutamanya kaum Bumiputera digesa supaya berani mengambil langkah proaktif dan radikal untuk menceburi pasaran yang lebih luas.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited untuk membantu golongan penjaja dan peniaga kecil bagi meningkatkan taraf sosio-ekonomi mereka.

Namun katanya, kelompok itu harus mempunyai sikap positif dan percaya kepada keupayaan sendiri untuk berjaya. -BERNAMA

Artikel Lain