suria

Ambil Serius Keselamatan Di Stesen Minyak : Polis

KUALA TERENGGANU: Semua pihak seperti pelanggan, pengusaha dan kakitangan perlu mengambil serius tentang aspek keselamatan di stesen minyak.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Senior Asisten Komisioner II Hamzah Md Jamil berkata, langkah itu perlu diberi perhatian walaupun kes jenayah yang melibatkan stesen minyak tidak begitu membimbangkan.

"Bagi meneruskan kesinambungan pencapaian sifar jenayah di stesen minyak, saya ingin menasihatkan supaya setiap kakitangan stesen minyak diberi maklumat tentang pentingnya kaedah bertindak dalam kecemasan bagi keselamatan diri dan harta benda syarikat serta pelanggan.

"Risiko keselamatan diri dan harta benda dapat dikurangkan jika segala usaha meningkatkan keselamatan diambil berat disamping kerjasama erat dengan pihak polis," katanya pada majlis pelancaran Rakan Cop Bersama Shell di sini hari ini.

Beliau berkata, pada tahun 2009 terdapat 16 kes jenayah berlaku di stesen minyak di seluruh kontinjen Terengganu seperti samun dan kecurian, manakala sehingga bulan Jun lalu tahun ini terdapat sembilan kes jenayah sedemikian.

Di samping itu juga terdapat kes penerimaan wang palsu yang melibatkan stesen minyak di Terengganu iaitu pada tahun 2009 terdapat empat kes dan sehingga bulan Jun lalu hanya satu kes dilaporkan.

Beliau berkata, kadar jenayah indeks kontinjen Terengganu telah mempamerkan prestasi cemerlang bagi tempoh Januari hingga Jun tahun 2010 dengan pencapaian penurunan indeks sebanyak 25.0 peratus.

Dalam hal ini, Hamzah berkata, laporan kes jenayah yang telah direkodkan dalam tempoh berkenaan ialah sebanyak 2,066 kes, berbanding 2,755 kes bagi tempoh yang sama pada tahun 2009.

Katanya, pencapaian ini sekaligus memperlihatkan penurunan sebanyak 689 kes, penurunan yang paling ketara melibatkan kes-kes jenayah harta benda dengan mencatatkan kadar penurunan sebanyak 28.8 peratus.

Statistik menunjukkan jumlah kes sebanyak 2,552 bagi tahun 2009, menurun kepada 1,817 kes bagi tempoh yang sama tahun ini. Perangkaan ini memperlihatkan penurunan sebanyak 735 kes bersama 28.8 peratus.

Bagaimanapun kes yang melibatkan jenayah kekerasan telah meningkat sebanyak 46 kes bersamaan 22.7 peratus. Dalam hal ini, terdapat 203 kes pada tahun 2009 berbanding 249 pada tempoh yang sama tahun 2010.

Hamzah berharap semua pihak khususnya agensi-agensi kerajaan dan swasta, pertubuhan-pertubuhan masyarakat agar dapat berganding dan memberikan kerjasama kepada PDRM untuk membanteras segala bentuk perlakuan jenayah di mana-mana tempat. - BERNAMA

Artikel Lain