suria

Polis Tahan Dua Lelaki Filipina Beberapa Jam Selepas Kejadian Samun

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki warga Filipina yang disyaki terbabit dalam satu kejadian samun dolar Singapura $450,000 daripada seorang peniaga di sebuah pusat membeli belah di Subang Jaya dekat sini, Sabtu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 2.40 petang apabila peniaga itu bersama isterinya dikepung oleh empat lelaki dan dua wanita semasa mereka berada di pusat membeli belah itu.

Beliau berkata ketika itu salah seorang daripada suspek terus menarik satu sampul surat berwarna putih yang mengandungi wang berkenaan daripada poket seluar peniaga itu, menyebabkan peniaga berkenaan menjerit meminta tolong.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi di sini, Sabtu beliau berkata seorang pengawal keselamatan yang berada di tempat kejadian kemudiannya berjaya menangkap seorang daripada suspek, manakala yang lainnya terus melarikan diri.

Bagaimanapun menurutnya semasa menunggu polis, tiba-tiba datang seorang daripada suspek itu, menyerang pengadu dan pengawal keselamatan berkenaan dengan menggunakan penyembur lada, dan melarikan diri lari bersama rakannya itu.

"Polis dengan bantuan orang ramai kemudiannya berjaya menahan dua suspek di sekitar Seksyen 17 Subang Jaya beberapa jam kemudian, dan kami sedang berusaha memburu saki baki anggota kumpulan penjenayah itu," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain