suria

Kastam Rampas Mercun Dan Bunga Api Bernilai RM700,000

BUKIT KAYU HITAM: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Kedah berjaya mematahkan cubaan menyeludup mercun dan bunga api bernilai RM757,000 dalam dua lori treler berasingan pada 9 Julai dan Khamis lepas.

Pengarah Kastam Negeri, Saadon Mohd Dros, berkata bertindak atas maklumat awam, sepasukan anggota cawangan penguatkuasaan memeriksa sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan di Kilometer 17.9, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Napoh, dekat sini.

"Selepas membuat tinjauan selama beberapa jam, pemandu tidak muncul dan hasil pemeriksaan, sejumlah 1,001 kotak berisi pelbagai jenis mercun dan bunga api ditemui dalam kontens itu," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Katanya nilai bagi semua mercun dan bunga api itu adalah RM375,342 manakala cukai yang cuba dielakkan adalah RM243,972.

Dalam operasi kedua Khamis lepas, katanya Kastam telah membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori treler yang diletakkan di kawasan perindustrian di sini dan menjumpai sebanyak 796 kotak berisi mercun dan bunga api.

"Nilai barangan rampasan itu adalah kira-kira RM381,564 manakala cukai yang cuba dielakkan adalah berjumlah RM248,016," kata Saadon.

Katanya kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana membawa barang terlarang tanpa permit. - BERNAMA

Artikel Lain