suria

Pemandu Bakal Jadi Bapa Maut

JELEBU: Seorang pemandu lori yang bakal menimang anak pertama bulan depan maut apabila lori seberat tiga tan bermuatan batu bata yang dipandunya terbabas ketika menuruni bukit di Kilometer 17, Jalan Bukit Tangga dari Kuala Kelawang menuju ke arah Seremban dekat sini pagi ini.

Anuar Md Noh, 28, terkorban bila lori yang dipandunya "terbang" melintas satu gaung kecil sebelum merempuh lereng bukit itu.

Sepupu kepada Anuar, Samsli Abd Rahman, 45, ketika ditemui Bernama di tempat kejadian berkata, Anuar dari Kampung Petasik baru saja memandu lori itu selama empat hari dan sebelum ini beliau bergerak ke pelusuk tanah air sebagai pemandu lori kontena dan lori tangki.

"Isteri sepupu saya ini sedang sarat mengandung. Sebelum ini selalu gugur dan Anuar memang suka sangat bila dapat tahu bulan depan dia akan jadi bapa," katanya sambil memandang ke arah tompokan darah pada ruang memandu lori itu.

Isteri Anuar berusia 20an adalah kakitangan Hospital Kuala Kelawang.

Sementara itu, seorang pegawai Hutan Lipur Jabatan Perhutanan Pulau Pinang terbunuh manakala dua lagi parah dalam satu kemalangan yang membabitkan sebuah kereta dan sebuah Perodua Kembara di Kilometer 12, Jalan Seremban-Kuala Pilah berhampiran Bukit Putus, pada pukul 6.30 petang semalam.

Menurut jurucakap polis, mangsa Abd Basir Hasan, 49, meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dan badan.

Rakannya yang juga pemandu kereta berkenaan serta pemandu Perodua Kembara pula cedera parah dan dihantar ke Hospital Seremban.

Kemalangan berlaku selepas Perodua Kembara dari arah Seremban menuju ke Kuala Pilah yang dipandu oleh pelajar sebuah institusi pengajian tinggi itu terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kereta yang dinaiki mangsa.

Timbalan Ketua Pengarah Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan) Datuk Dr Abd Rahman Abd Rahim yang ketika itu melalui kawasan kemalangan memberitahu Bernama, mangsa baru saja selesai menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pembangunan Hutan Lipur dan Hutan Taman Negeri yang dipengerusikan oleh beliau di Hutan Lipur Ulu Bendol. - BERNAMA

Artikel Lain