suria

Perogol 'Ampang' Akhirnya Ditahan

KUALA LUMPUR: Polis telah berjaya menahan dua lelaki yang disyaki merogol lebih lima orang pelajar perempuan sejak beberapa bulan lalu di sekitar kawasan Ampang.

Kedua-dua lelaki itu - seorang bekerja sebagai pembawa terak dan seorang lagi sebagai buruh - berusia dalam 30an telah berjaya mempengaruhi pelajar-pelajar perempuan ini yang dalam lingkungan usia 12 hingga 14 tahun dari luar kawasan sekolah sebelum membawa mereka ke sebuah flat kosong untuk merogol.

Selama beberapa hari kedua-dua lelaki ini akan mempengaruhi mangsa-mangsa mereka dengan membelanjakan mereka makan tengah hari dan berkenalan dengan lebih lanjut sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu.

Selepas merogol, mereka akan memberikan wang antara RM50 hingga RM300 kepada mangsa sebagai ‘upah tutup mulut’.

Menurut polis, kedua-dua lelaki berkenaan mengenali antara satu sama lain dan saling bertukar-tukar mangsa untuk memuaskan nafsu mereka.

Mereka berjaya menutup perbuatan mereka selama beberapa bulan sehinggalah seorang penghuni di flat berkenaan mengecami salah seorang mangsa dan melaporkan kejadian itu kepada keluarganya.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Penolong Pesuruhjaya Polis Abdul Jalil Hassan ketika mendedahkan perkara ini kepada wartawan menambah, pihaknya telah berjaya menahan kedua-dua lelaki berkenaan secara berasingan di kediaman mereka pada 13 dan 14 Julai lalu.

“Tangkapan tersebut berjaya dilakukan sebaik sahaja polis menerima aduan pada 12 Julai. Setakat ini kami telah menerima lima aduan dan mungkin akan ada lagi yang akan tampil untuk membuat laporan,” ujarnya.

Abdul Jalil juga berkata, kedua-dua lelaki itu akan ditahan sehingga 26 Julai ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan atas kesalahan merogol.

Artikel Lain