suria

Perketat Penguatkuasaan Bendung Aktiviti Korek Pasir Tidak Terkawal

PETALING JAYA: Kerajaan Pusat dan Selangor disaran memperketatkan lagi penguatkuasaan sebagai jaminan agar kegiatan perlombongan pasir secara tidak terkawal yang mengancam habitat hidupan liar dan alam sekitar dapat dibendung.

Anggota Lembaga Pentadbir Landskap Malaysia, Datuk Yahya A. Jalil mendakwa, kegagalan menguatkuasakan peraturan dan undang-undang sedia ada menyebabkan syarikat perlombongan yang diberi lesen semakin rakus mengaut hasil yang memberikan keuntungan tanpa mengambil kira impak kepada alam sekitar serta penduduk setempat.

Beliau mendakwa penguatkuasaan kini begitu lemah kerana undang-undang dilihat hanya pada sekeping kertas dan tidak diterjemahkan melalui tindakan.

"Kerajaan negeri mahupun kerajaan persekutuan, jangan ambil ringan tentang perkara ini. Kalau benda ini (perlombongan pasir) tak dihentikan segera, saya ingat Wetlands ini akan hilang selama-lamanya," katanya pada sidang media di pejabat Landskap Malaysia di sini, hari ini.

Lembaga itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) ditubuhkan atas inisiatif bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Tun Jeanne Abdullah itu.

Yahya juga menggesa kerajaan Selangor menghentikan serta-merta aktiviti perlombongan pasir di kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Kuala Langat kerana ia memberi kesan yang buruk kepada ekosistem di Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil.

Beliau berkata, pihaknya akan mengemukakan laporan terperinci kepada kerajaan pusat dan negeri mengenai tahap kemusnahan yang dialami Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands yang juga Rizab Tanah Lembap Negara selepas melawat kawasan tersebut.

Kerajaan Pusat dan Selangor disaran menghantar pakar ekologi dan pakar lain ke kawasan berkenaan dengan segera agar dapat menentukan tahap sama ada ia kritikal atau tidak, katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan syarikat perlombongan supaya tidak tamak dan rakus mengerjakan hasil bumi tanpa memikirkan akibat yang perlu ditanggung oleh generasi akan datang.

Sebelum ini, kegiatan melombong pasir yang tidak terkawal di beberapa tempat di Selangor mendapat perhatian serius pelbagai pihak.

Kegiatan itu semakin tidak terkawal apabila 20 hektar tanah, kira-kira 50 meter dari Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands di Dengkil yang juga rizab Tanah Lembap Negara, diceroboh untuk mendapatkan hasil tersebut sehingga mengancam sistem ekologi taman berkenaan.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kegiatan melombong pasir berhampiran Taman Rekreasi Paya Indah Wetlands itu adalah di bawah pengetahuan kerajaan Selangor dan dikendalikan oleh anak syarikat kerajaan negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Abdul Khalid bagaimanapun mendakwa kegiatan itu mempunyai permit yang sah dan lokasi sebenarnya terletak di Kampung Olak Lempit dan bukannya di Bukit Changgang.

Yahya berkata, kegiatan itu jika tidak diberhentikan dengan segera, bakal memusnahkan habitat hidupan liar, alam sekitar dan juga pencemaran air yang teruk. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain