suria

Mohamad Kecewa Pelajar Negeri Sembilan Di Mesir Ramai Gagal

SEREMBAN: Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini melahirkan rasa kecewa apabila terdapat kemerosotan mendadak prestasi pelajar-pelajar Negeri Sembilan yang dihantar untuk pengajian Islam di Mesir pada tahun lepas.

Katanya sejak diperkenalkan kelas intensif bahasa Arab untuk para pelajar pada tahun 2006, pelajar Negeri Sembilan mula mencatatkan keputusan cemerlang tetapi keadaan ini berubah pada tahun lepas.

"Ramai pelajar tahun pertama yang gagal kali ini. Biasanya merekalah yang terbaik. Peratus kelulusan cuma mencapai 66 peratus sahaja berbanding kebiasaanya iaitu pada tahap 80 peratus seperti tahun-tahun terdahulu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Program Intensif Pelajar Timur Tengah di sini pada Jumaat.

Katanya, keadaan ini tidak sepatutnya berlaku kerana kerajaan Negeri Sembilan telah mengadakan pelbagai kemudahan untuk mereka termasuk mengupah pensyarah bagi memberi kelas tuisyen, sesuatu yang tidak dibuat oleh kerajaan negeri lain.

"Yang kita hantar bukan calang-calang orang, semua mempunyai kelulusan 11A ke atas semasa dapat keputusan SPM," katanya.

Mengenai pelajar negeri itu di luar negara juga, Mohamad mahu pelajar-pelajar Negeri Sembilan menyambung pelajaran mereka hingga ke peringkat sarjana atau Doktor Falsafah terutama dalam bidang hadis.

"Kita mahu melahirkan pakar dalam bidang hadis kerana pada zaman sekarang ini terlalu ramai orang menterjemahkan maksud hadis mengikut sesuka hati mereka," katanya.

Biarlah Negeri Sembilan melahirkan ramai orang cerdik pandai dalam bidang agama, katanya.

Sebelum itu dalam ucapannya kepada para pelajar yang telah mengikuti program itu sebelum berangkat ke Morocco dan Mesir untuk belajar, Mohamad meminta mereka tekun dalam pelajaran kerana kerajaan negeri telah menyokong mereka melalui segala macam bentuk bantuan.

"Kalau gagal, jangan sampai balik Malaysia dan mengikut pemikiran pembangkang apabila dengan mudah menyalahkan kerajaan. Salahkan diri sendiri," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain