suria

Pekerja KTMB Tangguh Piket Lepas Jumpa PM

KUALA LUMPUR: Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (KPPKTMB) menangguhkan piket kali kedua 21 Julai ini, serta tindakan perusahaan lain berhubung isu penubuhan anak syarikat ET Sdn Bhd setelah bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Rabu. Presidennya Abdul Razak Md Hassan berkata pihak pemimpin tertinggi kesatuan itu telah mengadakan pertemuan dengan Najib di Kementerian Kewangan pada pukul 11.30 pagi.

Berikutan pertemuan itu, mesyuarat jawatankuasa kerja kesatuan itu mengambil keputusan untuk menangguhkan piket dan juga tindakan perusahaan yang lain seperti yang diputuskan dalam resolusi kesatuan, katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan di sini, Khamis.

Menurut Abdul Razak, keputusan itu bagi menghormati dan menghargai keprihatinan Najib mengenai perkara tersebut.

"Pihak kesatuan dan seluruh warga KTMB merakamkan jutaan terima kasih kepada YAB Datuk Seri Najib Tun Razak atas daya usaha serta jaminan untuk menyelesaikan isu tersebut," katanya.

"Ternyata YAB Datuk Seri adalah pemimpin yang terulung serta amat prihatin dengan keluhan kami selaku pekerja, sikap beliau sangat memahami keluhan kesatuan yang mewakili golongan pekerja," katanya.

Beliau berkata, Najib telah membuktikan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan' benar-benar menjadi kenyataan.

"Kami berbangga memiliki seorang pemimpin yang terbilang, memahami dan mengerti keluhan rakyat," katanya.

Kesatuan itu pada 7 Julai lepas telah mengadakan piket di perkarangan ibu pejabat KTMB di Jalan Hishamuddin, dan merancang untuk mengadakan piket di seluruh negara pada 21 Julai ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain