suria

Bekas Pembantu Tadbir SPA Didakwa Terima Rasuah

SHAH ALAM: Seorang pembantu tadbir bahagian perkeranian dan operasi, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini Isnin, atas tuduhan menerima rasuah bagi mengubah keputusan temuduga di suruhanjaya tersebut.

Mohamad Faizal A Rahman, 27, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menerima suapan itu dalam bentuk wang tunai RM700 daripada seorang wanita, Nurazlina Kamarudin, 23, yang menghadiri temuduga bagi jawatan juruteknik komputer.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk tertuduh yang semasa itu bertugas di Bahagian Pengambilan Khas, SPA Putrajaya, dekat sini, mengubah keputusan temuduga Nurazlina daripada calon yang tidak berjaya kepada calon yang berjaya dilantik.

Tertuduh yang bertubuh kecil dan berkaca mata itu didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 1.30 pagi, 16 September 2009 di Restoran McDonalds cawangan Jalan Ulu Klang, Batu 7, Lebuhraya Lingkaran Tengah 2, Ulu Klang, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Fadzillah Mohd Ossman mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan yang mana lebih tinggi.

Dalam usaha mengurangkan jaminan RM5,000 yang ditawarkan pihak pendakwaan, tertuduh memberitahu dirinya sudah tidak berkerja dan menanggung seorang anak yang berusia setahun.

Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menetapkan jaminan tertuduh sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 16 Ogos ini untuk lantikan peguam.

Artikel Lain