suria

PRS Mungkin Letak Muka Baru Pada Pilihan Raya Negeri

KANOWIT: Parti Rakyat Sarawak (PRS) mungkin membariskan muka-muka baru pada pilihan raya negeri yang ke-10.

Presidennya Datuk Sri Dr James Masing berkata, ia telah mengenal pasti semua calon-calonnya bagi mempertahankan sembilan kerusi yang diperuntukkan dan mungkin ada muka-muka baru di kalangan mereka.

Ketika didekati pemberita di sini semalam, beliau bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut kerana perlu menyerahkan senarai itu kepada Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri dan Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud terlebih dahulu untuk sokongan.

Timbul cakap-cakap mengenai PRS akan meletakkan seorang muka baru bagi kawasan Tamin dan akan menggantikan penyandang Larry Sng Wei Shien bagi Pelagus dan mengekalkan anggota majlis tertinggi Alexander Vincent untuk menawan kembali kerusi kawasan Ngemah dari Gabriel Adit Demong yang merupakan penyandang selama tiga penggal.

Adit adalah pengerusi Parti Cinta Malaysia (PCM) negeri selepas bersepakat dengan Parti Keadilan Rakyat selama setahun.

PCM merancang untuk bertanding antara 10 hingga 15 kerusi termasuk kawasan ketua menteri di Balingian.

Masing, Menteri Kemajuan Tanah Negeri dijangka mempertahankan kerusi kawasan Balleh.

Sementara itu, satu kumpulan di dalam PRS sedang melobi bagi kerusi kawasan Tamin dan Ngemah. Menurut sumber, seorang ahli perniagaan muda mendapat sokongan satu kumpulan bagi menggantikan penyandang kerusi kawasan Tamin iaitu Joseph Mauh Ikeh.

Mauh, bekas guru besar sekolah dan juga naib presidennya sebelum ini merupakan Anggota Parlimen selama tiga penggal bagi kawasan Selangau.

Beliau kemudian bertukar tempat dengan Datuk Joseph Entulu yang kini merupakan timbalan presiden parti dan juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Sementara itu, seorang pegawai kanan kerajaan yang memiliki ijazah Doktor Falsafah dan hampir bersara, berminat untuk bertanding kerusi kawasan Ngemah.

Beliau sentiasa kelihatan di kawasan itu mempunyai kumpulan pelobi.

Pada pilihan raya Mei 2006, Adit, yang bertanding sebagai calon Bebas, menewaskan Alexander dengan majoriti lebih 500 undi.

Calon ketiga mewakili Parti kebangsaan Sarawak (SNAP) hilang wang pertaruhan.

Bagi kerusi Pelagus, seorang calon yang juga anggota majlis tertinggi juga dikenal pasti bagi menggantikan Sng, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri yang juga seorang anggota parti.

Terdahulu, Masing memberitahu satu perhimpunan bahawa PRS perlu dibenarkan membuat keputusan sendiri mengenai calonnya bagi kerusi kawasan Ngemah.

"Saya harap parti-parti komponen negeri yanglain akan menghormati keputusan kami dan memberi sokongan penuh mereka dalam semangat BN," katanya.

Beliau percaya pilihan raya akan diadakan awal tahun depan. - BERNAMA

Artikel Lain