suria

BN Cadang Pinda Perlembagaan Untuk Tarik Sokongan Golongan Muda

KUANTAN: Barisan Nasional (BN) bercadang meminda perlembagaan parti bagi membolehkan masyarakat khususnya golongan muda mendekati parti itu, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pindaan Perlembagaan BN berkata pada masa ini, kebanyakan golongan muda memahami dan menyokong aspirasi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, namun tidak mahu menyertai parti politik.

"Yang menjadi tanda tanya, apa kita nak buat dengan rakyat di luar sana di mana ada golongan muda tidak mahu bersama parti Umno dan BN, tetapi mereka yakin dengan kepimpinan Datuk Seri Najib dan mereka sokong gagasan 1Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Paya Besar di sini, hari ini.

Katanya golongan terbabit dilihat kurang berminat dengan politik, namun mahu menjayakan visi dan aspirasi kerajaan BN.

"Mereka tahu banyak perkara yang digembar-gemburkan merupakan perkara politik, mereka nak dekatkan diri dengan BN dan kita nak cari ruang untuk suara mereka didengari," katanya.

Bagaimanapun, Hishammuddin enggan mengulas lanjut berhubung fasal tertentu dalam perlembagaan terbabit yang perlu dipinda.

Beliau berkata pihaknya telah menyiapkan draf pertama pindaan itu yang akan dikemukakan kepada pucuk pimpinan parti komponen BN untuk perbincangan sebelum diluluskan.

Hishammuddin yakin pindaan berkenaan akan dapat dilaksanakan pada hujung tahun ini. - BERNAMA

Artikel Lain