suria

Struktur Suruhanjaya Persaingan Sedang Digubal - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sedang menggubal struktur pentabiran kepada Suruhanjaya Persaingan bagi mendapat keluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam secepat mungkin.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata suruhanjaya itu yang bertanggungjawab dalam menguatkuasakan Akta Persaingan 2010 yang diluluskan oleh Parlimen baru-baru ini bagi menyekat amalan kartel dan monopoli dalam semua sektor komersial, akan dianggotai oleh wakil pertubuhan badan bukan kerajaan dan profesional termasuk peguam dan ahli ekonomi.

"Mereka perlu mempunyai kepakaran untuk membuat penilaian terhadap setiap aduan yang diterima oleh suruhanjaya tersebut," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxonmobil di Istana Budaya di sini pada Jumaat.

Ismail Sabri turut menerima cek berjumlah RM100,000 bagi pihak kumpulan Utusan untuk penganjuran pertandingan itu tahun depan yang disampaikan oleh Pengerusi Subsidiari-subsidiari ExxonMobil, Hugh M.Thompson.

"Kita tengah mengemukakan dari segi struktur pentadbiran sebab kita kena ada CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) dan sebagainya. Untuk mendapatkan staf kita kena mendapatkan kelulusan dari JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam)," katanya

Beliau berkata selain itu kementerian itu juga bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak berkaitan dan pemain industri bagi memberi penjelasan lanjut berhubung akta itu sebelum ia dilaksanakan bermula awal 2012. - BERNAMA

Artikel Lain